Hari ini, ku sambut hari raya di Seremban, bandar penuh kenangan pahit dan manis. Dengan pertolongan seorang jiran yang baik hati, daku sempat juga pergi menunaikan solat hari raya Aidiladha pagi ini, meskipun ku dalam keadaan uzur, namun alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik, meskipun solat dengan menggunakan kerusi di dalam masjid.
Selama ini, aku sangat jauh melangkah, kembara di segenap pelusuk dunia, sesekali apabila tuhan memberikan sakit kaki, barulah ku sedar dan faham betapa syukurnya ku yang dikurniakan Allah swt dengan kedua-dua belah kaki, jika dibandingkan dengan insan yang dilahirkan tanpa kaki atau cacat anggota badan yang lain.
Selesai menunaikan solat dan pulang ke rumah, dalam bersendirian di rumah, ku kembali berfikir dan merenung tentang diri, tentang hati. Betapa aku tersangat jauh pergi sehingga melupakan hari-hari hujung ku. Terlalu mengikut perasaanku hingga ku lupa hati yang ku jaja tidak siapa pun ingin memilikinya. Dan hati itu terbiar dan liar sehingga hilang taaluq mahabbahnya. Hingga hilang marak rindunya. Hilang khaufnya. Lantas membuatkannya sedih dengan kepahitan qada. Seolah-olah tidak redha dengan qada. Lalu terkunci pintu nikmat. Terkunci pintu faqir hingga terbukanya pintu angan-angan membuatkan ku kehilangan mujahadah diri. Hati yang ku miliki ini seolah-olah bukan hati ku. Kerana hati ku tidak begitu dulu. Maka milik siapakah hati ini? Apakah ia dimiliki syaitan yang sentiasa mencari ruang memusnahkannya? Atau dimiliki dunia yang dipaparkan berbagai keindahan yang menyengat? Atau dimiliki oleh sebuah Cinta yang kosong? Cinta yang tidak kita cari dan tidak pernah kita niatkan untuk mengutipnya di ruang sepi ini. Namun cinta itu datang seperti Singa lapar. Terlalu bernafsu dan gopoh untuk menatijahkannya. Justru membuatkan kita hilang tempat dan waktu. Membuatkan mata terkunang-kunang. Membuatkan darah berdesir dan berkeringat dingin. Serta membuatkan kita memandang semua objek dalam keadaan gerak perlahan. Sehingga akhirnya membuatkan para duat diam mematung menghentikan kerana terganggu oleh hati ini.
Di bawah takhta Allah swt yang bergelar luh mahfuz ini tercatat segala-galanya seawal dan sebelum kejadian kita hatta walau sehelai daun pun yang jatuh dan banyak menyimpan rahsia yang pasti menyimpang siurkan pemikiran kita terhadap kejadian kita sendiri dan di sinilah muara cabang dan sungai ilmu yang patut kita fahami kerana di sinilah harus kita terima hakikat takdir kita kerana segalanya termasuk dalam zat-zatNya.
Allah swt mentakdirkan orang orang tertentu untuk memiliki hati yang terang agar dapat memberi pencerahan kepada orang di sekelilingnya dan kita bersyukur andainya kita termasuk golongan yang thabat di jalan ini kerana Dia lah dulu yang membuatkan kita tahu bagaimana tergagap gagap meniti huruf-huruf jawi dan mengenal angka angka suci itu dan menjelmakan huruf-hurif itu menjadi kunang kunang yang berkelip kelip hingga kita lancar membacanya. Satu persatu hidayahNya menerangi kita dan saat Allah swt menyemaikan biji zarah kecerdasan, zarah yang jatuh dari arasyNya dan menghentam hati kita yang kotor lantas menyucikannya hingga dengan asma’ Nya kita hidup di bumi bertuah ini.
Tersentak dari lamunan, jiran sebelah datang membawa berberapa kuih, lemang dan lain-lain untuk santapan ku pagi ini. Terima kasih kepada jiran yang baik hati itu. Moga Allah swt memberi ganjaran pahala yang berganda pada kalian yang banyak membantu ku ini..amin.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja dan mengatakan "kami telah beriman", sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” ~ Ankabut 2-3













